Sejak kebelakangan ini, perbincangan tentang Roblox dan bahayanya kepada kanak-kanak kembali hangat di Malaysia. Ada yang menggesa supaya platform itu dilarang, manakala ibu bapa semakin bimbang tentang kandungan dan interaksi yang berlaku ketika anak bermain. Kerajaan juga sedang meneliti keperluan kawal selia tambahan terhadap permainan dalam talian, termasuk Roblox, bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak.
Dalam suasana kebimbangan ini, perhatian turut beralih kepada WhatsApp. Aplikasi yang begitu biasa digunakan untuk urusan keluarga dan sekolah juga menimbulkan persoalan keselamatan: bagaimana jika anak menerima mesej daripada orang tidak dikenali, dimasukkan ke dalam kumpulan yang tidak sesuai atau diperdaya oleh penipu?
Kebimbangan ibu bapa memang berasas. Namun, kita perlu berhati-hati supaya kebimbangan terhadap satu platform tidak menyebabkan semua platform dianggap sama bahayanya.
Hakikatnya, ibu bapa berhak menetapkan batas, termasuk melarang anak menggunakan aplikasi tertentu. Tetapi pastikan larangan itu berdasarkan pengetahuan yang tepat tentang fungsi aplikasi, risiko sebenar, umur dan kematangan anak serta keperluan keluarga.
Keputusan yang melindungi anak perlu bermula dengan kefahaman.
Tidak semua platform berfungsi dengan cara yang sama
Dalam perbualan harian, kita mudah mengumpulkan semua aplikasi di bawah istilah “media sosial”. Sedangkan platform permainan, perkongsian video dan pemesejan mempunyai fungsi serta corak penggunaan yang berbeza.
Anak yang bermain dalam ruang maya bersama pengguna lain berhadapan dengan keadaan yang berbeza daripada anak yang menghantar mesej kepada ibunya selepas tamat kelas. Begitu juga, menonton video yang dicadangkan secara berterusan tidak sama dengan membuat panggilan kepada ahli keluarga.
Perbezaan ini tidak bermaksud aplikasi pemesejan bebas daripada bahaya. Sebaliknya, ia membantu kita mengenal pasti bentuk perlindungan yang diperlukan.
Bagi platform permainan, ibu bapa mungkin perlu memahami permainan yang disertai, interaksi dengan pemain lain dan pembelian dalam aplikasi. Bagi WhatsApp pula, perhatian lebih tertumpu kepada siapa yang boleh menghubungi anak, kumpulan yang disertainya, maklumat yang dikongsi dan cara anak bertindak apabila menerima mesej mencurigakan.
Malah, dalam aplikasi yang sama, pengalaman anak boleh berbeza. Kumpulan keluarga yang diurus oleh orang dewasa tidak mempunyai keadaan yang sama seperti kumpulan besar yang menghimpunkan ramai individu tidak dikenali.
Oleh itu, soalan kita perlu lebih khusus daripada sekadar “Aplikasi ini bahaya atau tidak?” Kita perlu bertanya: Anak menggunakannya untuk apa, dengan siapa dan dalam keadaan bagaimana?
WhatsApp juga menjadi penghubung keluarga
Bagi sesetengah keluarga, WhatsApp memainkan peranan penting dalam pengurusan kehidupan harian.
Bayangkan ibu bapa yang masih bekerja ketika anak pulang dari sekolah. Mesej ringkas seperti “Dah sampai rumah” atau “Kelas habis pukul lima” membantu mereka menyelaraskan penjagaan dan mengetahui keadaan anak. Ada pula keluarga yang tinggal berjauhan dan menggunakan panggilan video untuk mengekalkan hubungan.
Dalam keadaan ini, aplikasi pemesejan mempunyai nilai yang nyata. Melarang penggunaannya juga bermakna keluarga perlu menyediakan saluran komunikasi alternatif yang boleh dipercayai.
Namun, dapat menghubungi anak tidak sama dengan mengetahui keseluruhan aktiviti digitalnya. Anak boleh menghantar mesej kepada ibu bapa, tetapi pada masa yang sama menerima mesej lain yang tidak diketahui keluarga. Manfaat komunikasi tetap perlu disertai perlindungan.
Sebab itulah keputusan keluarga mungkin berbeza. Ada keluarga yang belum memerlukan anak mempunyai akaun sendiri. Ada yang boleh menggunakan telefon atau akaun ibu bapa untuk urusan tertentu. Ada pula yang memerlukan saluran komunikasi ketika anak berada di luar rumah.
Perbezaan keputusan ini wajar dinilai berdasarkan keperluan, kesediaan anak dan peraturan yang terpakai.
Fahami syarat umur dengan tepat
Satu perkara yang perlu diperjelaskan ialah perbezaan antara syarat platform, nasihatkeselamatan dan undang-undang negara.
Terma umum WhatsApp menetapkan umur minimum 13 tahun untuk mendaftar dan menggunakan akaun sendiri, atau umur lebih tinggi jika diwajibkan oleh negara berkenaan. Terma tersebut turut menyediakan kemungkinan akaun kendalian ibu bapa bagi anak di bawah umur itu, jika tersedia di negara mereka.
WhatsApp mengumumkan pengenalan akaun kendalian ibu bapa pada Mac 2026. Antaranya, ibu bapa boleh mengawal permintaan hubungan, penyertaan kumpulan dan tetapan privasi. Walau bagaimanapun, kemudahan ini dilancarkan secara berperingkat dan mungkin belum tersedia di semua tempat.
Ini bukan bermaksud semua anak yang mencapai umur minimum sudah bersedia menggunakannya. Had umur ialah syarat asas kelayakan akaun; kematangan, kemahiran keselamatan dan keperluan anak masih perlu dipertimbangkan.
Pada masa yang sama, pemantauan ibu bapa tidak menggantikan kewajipan mematuhi syarat platform atau undang-undang yang berkenaan.
ONSA memerlukan penerangan yang jelas
Di Malaysia, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau ONSA menjadi sebahagian penting usaha melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian. Pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko pada 1 Jun 2026 turut menetapkan kewajipan kepada penyedia media sosial berlesen berkaitan pendaftaran akaun pengguna berumur 16 tahun dan ke atas.
Namun, skopnya perlu difahami dengan teliti. ONSA mengecualikan ciri pemesejan peribadi di bawah seksyen 2(2). Pengecualian itu merujuk kepada ciri komunikasi tertentu, bukannya alasan untuk menganggap setiap fungsi dalam sesuatu aplikasi semestinya mempunyai kedudukan yang sama.
Pada 18 Oktober 2026, Menteri Komunikasi turut menjelaskan bahawa mod komunikasi seperti WhatsApp belum terpakai di bawah peruntukan ONSA dan kod yang dibincangkan, serta meminta perkara tersebut diteliti oleh MCMC. Oleh itu, tidak tepat untuk terus menyimpulkan bahawa semua penggunaan WhatsApp oleh kanak-kanak bawah 16 tahun telah menjadi kesalahan di bawah ONSA.
Kejelasan dasar sangat penting untuk keluarga. Ibu bapa perlu tahu platform dan fungsi mana yang diliputi, had umur yang berkuat kuasa, bentuk penggunaan yang dibenarkan serta pihak yang bertanggungjawab memastikan pematuhan.
Sekolah juga memerlukan panduan yang selaras. Jika murid diminta menyertai kumpulan komunikasi, saluran yang digunakan perlu mengambil kira umur mereka, keselamatan dan pilihan bagi keluarga yang tidak membenarkan akaun sendiri.
Apa yang boleh dipelajari daripada Australia?
Australia memberikan contoh pembezaan yang jelas. Walaupun negara itu melaksanakan sekatan akaun media sosial bagi bawah 16 tahun, WhatsApp dan Messenger disenaraikan sebagai perkhidmatan yang kini tidak termasuk dalam kategori platform media sosial terhad umur.
Ini tidak bermaksud WhatsApp diisytiharkan selamat tanpa syarat. Syarat umur platform masih perlu dipatuhi. Namun, pendekatan tersebut menunjukkan bahawa dasar boleh membezakan perkhidmatan berdasarkan fungsi, sambil mengekalkan akses kepada saluran komunikasi keluarga.
Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada kejelasan ini. Masyarakat memerlukan penerangan yang mudah difahami tentang apa yang dibenarkan, apa yang dihadkan dan mengapa sesuatu perbezaan dibuat.
Menimbang manfaat, mengurus risiko
Bagi ibu bapa yang membenarkan penggunaan WhatsApp mengikut syarat yang terpakai, mulakan dengan tujuan yang jelas. Tentukan hubungan dan kumpulan yang diperlukan, semak tetapan privasi bersama anak dan ajar mereka supaya tidak berkongsi kod pengesahan, maklumat peribadi atau wang apabila diminta melalui mesej.
Anak juga perlu memahami bahawa nama atau gambar yang dikenali belum semestinya membuktikan identiti pengirim. Permintaan yang pelik, mendesak atau meminta dirahsiakan perlu dibawa kepada orang dewasa yang dipercayai.
Paling penting, pastikan anak tahu bahawa mereka boleh meminta bantuan tanpa terus dimarahi atau dipersalahkan. Peraturan keluarga lebih berguna apabila anak memahami sebabnya dan berani memberitahu apabila sesuatu tidak kena.
Ibu bapa berhak melarang. Ibu bapa juga boleh membenarkan penggunaan yang sesuai dengan keperluan keluarga, dalam batas syarat platform dan undang-undang. Kedua-duanya memerlukan pertimbangan yang berpengetahuan.
Matlamatnya ialah memastikan keputusan kita benar-benar membantu melindungi anak—dengan memahami teknologi yang digunakan, manfaat yang diperlukan dan risiko yang mesti diurus.
Maklumat dasar dan peraturan disemak setakat 30 Oktober 2026.

Tentang Penulis:
Prof Madya Ts Dr Shafizan Mohamed ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa dan merupakan ketua penyelidik Platform KID,








