Oleh Dr. Shafizan Mohamed
Apabila kerajaan memperkenalkan Online Network Safety Act (ONSA), ramai ibu bapa mungkin tertanya-tanya—apakah kesan ONSA kepada kita sebagai ibu bapa? Adakah ini bermakna anak-anak kita akan lebih selamat? Atau adakah ini akan menambah lagi cabaran dalam mendidik anak dalam dunia digital?
Hakikatnya, ONSA akan membawa perubahan yang nyata. Namun perubahan ini bukan sahaja melibatkan sistem dan platform, tetapi juga cara kita sebagai ibu bapa memahami dan mengurus kehidupan digital anak-anak.
Salah satu perubahan paling besar ialah peralihan tanggungjawab. Sebelum ini, keselamatan anak dalam talian banyak bergantung kepada ibu bapa. Kita yang memantau, kita yang mengawal, dan kita yang sentiasa risau. Tetapi dengan ONSA, platform digital kini tertakluk dengan undang-undang untuk lebih aktif melindungi pengguna, terutamanya kanak-kanak. Ini bermakna jika berlaku perkara yang tidak diingini, ibu bapa kini mempunyai saluran yang lebih jelas untuk membuat laporan, dan mungkin boleh mengharapkan tindakan yang lebih cepat. Namun, ini juga memerlukan ibu bapa untuk tahu bagaimana menggunakan fungsi-fungsi tersebut. Tanpa pengetahuan ini, kemudahan yang ada mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Dalam masa yang sama, ibu bapa mungkin akan mula melihat perubahan dalam cara anak-anak mengakses platform digital. Dengan cadangan had umur dan kemungkinan penggunaan sistem pengesahan identiti seperti eKYC (electronic Know Your Customer), anak-anak tidak lagi sebebas dulu dalam menggunakan platform digital. Ini mungkin menimbulkan persoalan, konflik, atau rasa tidak puas hati dalam kalangan anak-anak. Di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai penghubung yang dapat membantu anak memahami bahawa sekatan ini bukan untuk menghalang, tetapi untuk melindungi.
Selain itu, dengan adanya sistem pengesahan identiti, ibu bapa juga akan berdepan dengan keputusan baharu. Adakah kita mahu mendaftarkan anak menggunakan identiti kita? Adakah kita selesa berkongsi data peribadi dalam sistem digital? Ini bukan lagi sekadar isu teknikal, tetapi melibatkan soal privasi, keselamatan data, dan kepercayaan terhadap sistem. Maka ibu bapa kini bukan sahaja menjadi penjaga anak, tetapi juga pembuat keputusan dalam hal identiti digital.
Dengan lebih banyak perbincangan tentang keselamatan digital di peringkat nasional, ibu bapa mungkin akan lebih terdedah kepada pelbagai risiko yang wujud dalam talian—daripada grooming hinggalah kepada eksploitasi. Ini boleh menimbulkan kebimbangan, malah ketakutan. Namun penting untuk kita tidak bertindak berdasarkan panik, tetapi berdasarkan kefahaman. Anak-anak tidak hanya perlu dikawal, tetapi dibimbing.
Ibu bapa perlu faham, walaupun ONSA memperkukuh sistem, ia tidak mampu menghapuskan semua risiko. Anak-anak masih boleh berinteraksi dalam ruang peribadi, berhubung dengan individu yang tidak dikenali, atau menggunakan platform yang kurang dikawal. Ini bermakna peranan ibu bapa tetap kritikal.
Jika dilihat secara lebih mendalam, ONSA bukan mengurangkan keperluan keibubapaan digital—tetapi meningkatkannya. Ibu bapa hari ini perlu lebih celik digital, lebih memahami teknologi, dan lebih terlibat dalam kehidupan dalam talian anak-anak. Pendekatan keibubapaan juga perlu berubah, daripada sekadar mengawal kepada membimbing dan membina kesedaran dalam diri anak.
Kita perlu melihat ONSA sebagai sebahagian daripada satu ekosistem yang lebih besar. Ia melibatkan kerajaan, platform, masyarakat, dan ibu bapa sendiri. Polisi boleh menyediakan perlindungan, teknologi boleh membantu mengurangkan risiko, tetapi hubungan antara ibu bapa dan anak tetap menjadi benteng utama.
Keselamatan digital anak-anak tidak bermula daripada sistem—ia bermula daripada rumah. Dan dalam dunia digital hari ini, ibu bapa bukan sahaja membesarkan anak, tetapi juga membimbing mereka menjadi pengguna digital yang selamat, bijak, dan bertanggungjawab.


tentang penulis
Dr. Shafizan Binti Mohamed (Assoc. Prof. Ts. Dr.)
Dr. Shafizan binti Mohamed merupakan Profesor Madya di Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).





