Eh, ini bukan salah skrin tau, ibu ayah, tapi …

Sejak kebelakangan ini, media sosial kita dihujani kisah-kisah menyedihkan tentang anak yang dibuli, ditampar, diterajang, dan ada yang lebih menyayat hati sehingga meninggal dunia. Bukan sekadar berita daripada media, tetapi satu persatu suara ibu bapa dan mangsa yang pernah dibuli suatu ketika dahulu. Mereka menulis panjang di ruangan sosial media dan komen, penuh dengan air mata dan trauma yang belum pulih.

Sebagai ibu kepada tiga anak lelaki dan juga bekas wartawan penyiaran, saya tak dapat duduk diam. Hari ni, saya bertanya soalan yang mungkin ada ibu bapa luar sana juga terdetik, “Kenapa anak-anak kita hari ini makin ganas?”

Sebagai orang yang membesar dengan rancangan televisyen sejak kecil, celik buka tv, makan depan tv, buat kerja rumah pun di hadapan tv, sehingga pernah bekerja di stesen tv, tak mustahil jika saya katakan, apa yang anak kita tonton hari ini, mungkin membentuk cara mereka bertindak esok hari. Persoalannya, sebagai ibu bapa, kita ini perasan atau tidak?

Rancangan sekarang tak sama macam dahulu. Jika dahulu, ada “gatekeeper” yang mengawal kandungan di kaca televisyen tetapi sekarang, semuanya di hujung jari mahupun “remote control”, sebut sahaja, terus keluar di paparan tv. Mudah tetapi awas ya ibu bapa. Ini mungkin racun yang memberi kelonggaran etika dan pemahaman buat anak-anak yang belum matang dalam berfikir dan membuat keputusan. Kalau tak, takkan pula ada kes buli bila cinta monyet ditolak yang menjadi berita utama hari ini?

Suara mak ayah dulu berkesan. Kalau teringin nak menonton cerita yang ada adegan kejar-mengejar antara polis dan penjenayah, tembak-menembak, mangsa berdarah, mesti ada suara di belakang – “Ini contoh sahaja, siapa salah masuk lokap. Drama saja, jangan nak meniru pula”. Kita dahulu tidak dibiarkan sendiri meneliti adegan yang kurang sesuai dengan umur. Asbab itu juga, setiap rancangan di kaca tv ada klasifikasi seperti:

  • U (Umum/Universal): Untuk semua peringkat umur. Filem-filem dalam kategori ini sesuai untuk tontonan semua lapisan masyarakat.
  • P12: Untuk semua peringkat umur, tetapi bimbingan ibu bapa diperlukan untuk penonton di bawah 12 tahun.
  • 13: Untuk penonton berusia 13 tahun ke atas.
  • 16: Untuk penonton berusia 16 tahun ke atas.
  • 18: Untuk penonton berusia 18 tahun ke atas.

Sedikit sebanyak, klasifikasi ini bertujuan untuk memberikan panduan kepada penonton dan ibu bapa mengenai kandungan sesebuah cerita yang ditayangkan. Tepuk dada, tanya pada diri sendiri adakah kita sepatuh itu? “Ala biarkan saja, dia tengah bermain tu, bukannya tengok drama yang kita tengok”, mungkin kata-kata sebegini yang membuatkan ibu bapa ataupun orang dewasa tak perasan yang anak-anak ini sedang memerhati aksi-aksi yang bukan dalam lingkungan umurnya.

Lebih mencabar pada waktu sekarang, anak-anak hari ini boleh pilih sendiri, tonton sendiri dan mungkin kebanyakannya, faham sendiri, itupun kalau faham dengan mesej yang ingin disampaikan penulis ataupun pengarah rancangan tersebut. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, banyak kali saya jumpa anak-anak yang suka gaduh, terjerit-jerit marah, tendang dan tumbuk kawan. Ibu bapa kata tantrum, tetapi saya rasa ini adalah kesan kandungan yang ditonton di skrin. Bila saya tanya kepada ibu bapa mereka, “Tengok cerita apa kat rumah?”, jawapannya “Entah. Dia tengok kartun dekat YouTube saja, tak apa kot.

Ada satu insiden ini, ada dua beradik umur di bangku sekolah rendah bergaduh, bertampar sampai berdarah. Bila saya tanya kenapa, “Saja suka-suka, tiru kartun”. Terkejut saya dengan jawapan tersebut dan mengingatkan saya pada satu kajian oleh pakar dari Universiti Alexandria membuktikan bahawa kartun seperti Oggy and the Cockroaches menyebabkan peningkatan kelakuan agresif dalam kalangan kanak-kanak. Kalau ibu bapa lebih cakna, ada pelbagai kandungan di YouTube yang seperti “kids-friendly” tetapi ada unsur keganasan, menggunakan kata-kata yang kasar dan adegan marah-terpekik-terlolong diselitkan. Bagi saya, menjadi ibu bapa dengan cabaran ekonomi dan digital sekarang bukan mudah, tetapi sekiranya kita benarkan anak-anak menonton skrin, kita perlu ada bersama untuk membimbing apa yang boleh ditonton, kerana anak-anak akan mula tiru – bukan sebab mereka nakal, tetapi lebih kepada sifat ingin mencuba dan tak tahu apa yang boleh dan tak boleh.

Bak kata peribahasa, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak hari ini pandai ‘swipe’, tahu tekan ‘skip ads’, tahu cari YouTuber kegemaran. Tapi adakah mereka tahu beza yang betul dan salah? Ibu bapa yang sedang membaca, malah orang dewasa yang selalu berinteraksi dengan kanak-kanak, itu kerja kita.

Jika anda membaca sehingga perenggan ini, kita sama-sama selaku ibu bapa, apakah yang kita boleh buat sebagai ibu bapa yang cakna dengan digital?

  1. Baca penulisan ini sehingga habis. Terima kasih.
  2. Luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk tonton bersama. Tunjuk minat dan tanya, “Cerita ni pasal apa?” atau “Kenapa dia buat macam tu?”
  3. Bukan semua kartun sesuai. Bukan semua animasi ‘selamat’. Tengok rating, semak saluran, dan block jika perlu.
  4. Tanya anak, “Kalau kamu jadi watak tu, kamu buat macam mana?” atau “Kalau orang cakap kasar dengan kamu, apa kamu rasa?” Soalan ini mungkin nampak biasa tetapi boleh jadi pendinding diri yang besar jika anak kita dibuli.
  5. Anak mungkin merajuk. tetapi kita bukan kawan, kita ialah ibu bapa mereka. Ingatlah, letak sempadan itu tanda sayang, bukan untuk sekat kebebasan.

Sekali lagi ingin saya tegaskan, anak-anak hari ini bukan salah sepenuhnya jika mereka tonton skrin tetapi akan jadi silap bila kita, sebagai orang dewasa, buat tak endah. Skrin itu alat, tetapi jika tidak disuluh dengan ilmu dan nilai, alat ini boleh jadi cikgu yang salah. Ambil masa “me-time” kita selepas bekerja, duduk bersama anak-anak dan tonton sambil bercakap untuk mendidik mengenai kandungan. Hadirlah secara fizikal dan emosi dengan anak-anak kerana masa boleh jadi berlalu dengan cepat, tiba-tiba anak dah besar sekelip mata.


Tentang Penulis

Hafizatul Salma Harif Fathilah

Hafizatul Salma Harif Fathilah ialah bekas wartawan penyiaran dan pegawai perhubungan awam yang kini aktif dalam bidang kandungan kreatif, pemasaran digital dan media sosial. Sebagai ibu kepada tiga anak, beliau pernah mendengar sendiri luahan hati ibu bapa di wad kanak-kanak dan ICU, yang menyedarkan beliau tentang pentingnya kesedaran kesihatan kanak-kanak. Kini, beliau merupakan moderator kandungan CVI Family Support Network Malaysia yang fokus kepada isu penglihatan akibat gangguan otak dalam kalangan kanak-kanak.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Tapis atau Isih
Archives
Kemas Kini Terbaru
Teg Awan
Kongsi Artikel Ini :

Artikel Berkaitan

Tanya Cik Lang!

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x