Dalam era digital yang semakin dikuasai oleh skrin dan notifikasi, sentuhan jari di telefon pintar boleh menentukan banyak perkara antaranya barang yang dibeli dan siapa yang dipercayai. Kita hidup di dalam era pengaruh digital, di mana adanya budaya influencer, in-app purchases atau pembelian dalam aplikasi dan pengguna digital menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Namun, persoalannya adakah kita benar-benar sedar tentang kesannya terhadap keluarga kita?
Dunia Digital: Antara Hiburan dan Perangkap
Anak-anak pada hari ini dibesarkan dengan akses tanpa had ke dunia digital. Dari permainan mudah alih hingga video pendek di media sosial, semua ini kelihatan menyeronokkan. Tetapi di sebalik hiburan itu tersembunyi strategi pemasaran yang halus seperti in-app purchases atau pembelian dalam aplikasi.
Perkara ini berlaku sekiranya anak-anak telah menekan satu klik kecil pada butang “Beli Sekarang” akan membawa kepada perbelanjaan yang besar tanpa disedari. Bagi anak-anak, tindakan itu nampak remeh. Namun, bagi ibu bapa, ia boleh menjadi isu kewangan dan juga isu nilai.
Kuasa Pengaruh dan Imej Sempurna
Budaya influencer pula menambahkan lagi cabaran dimana ramai golongan remaja kini mengukur nilai diri mereka melalui jumlah “like”, “view” dan jenama yang mereka gunakan. Anak-anak terutama mereka yang didedahkan dengan video-video influencer pasti akan teruja untuk melihat kehidupan mewah dan kesempurnaan yang ditonjolkan oleh influencer sebagai sesuatu yang perlu dicapai.
Tanpa panduan yang betul, anak-anak akan mudah terpengaruh untuk membeli barangan a untuk kelihatan “nampak sama” seperti idola digital mereka. Inilah bentuk konsumerisme digital apabila keperluan ditentukan oleh trend, bukan keperluan sebenar.
Ibu Bapa Sebagai Kompas Digital
Dalam menghadapi realiti ini, peranan ibu bapa amat penting dalam menjadi “ibu bapa digital” bukan hanya mengawal setiap klik anak-anak, tetapi mendidik mereka agar berfikir sebelum bertindak. Ibu bapa juga perlulah berbincang secara terbuka tentang nilai wang, pengaruh media sosial, dan bagaimana iklan berfungsi. Sebagai contoh, ibu bapa menjelaskan kepada anak-anak bahawa tidak semua yang mereka lihat di internet itu benar, dan kebanyakan kandungan sebenarnya direka untuk menjual sesuatu sama ada produk atau gaya hidup.
Selain itu, ibu bapa turut menetapkan batas masa skrin yang sihat dan melibatkan anak-anak dalam aktiviti luar talian seperti membaca buku, bermain bola, atau melakukan aktiviti bersama keluarga. Kesannya, dapat membantu anak-anak menyeimbangkan dunia maya dengan dunia sebenar.
Bijak Berbelanja dan Berfikir Secara Kritis
Langkah lain yang boleh diajar anak-anak untuk menjadi pengguna digital yang bijak ialah mengajar mereka untuk bertanya sebelum membuat sebarang pembelian antaranya:
- Adakah ini keperluan atau kehendak?
- Adakah pembelian ini memberi manfaat jangka panjang?
- Siapa yang mendapat untung daripada pilihan ini?
Soalan yang ringkas dan mudah seperti ini dapat menanam tabiat berfikir secara kritikal dan
membantu mereka membuat keputusan yang lebih matang dalam dunia digital.
Kesimpulan: Sentuhan Bijak, Generasi Cerdas
Akhirnya, mesej “Think Before You Tap” bukanlah hanya untuk anak-anak, tetapi juga untuk kita semua sebagai ibu bapa dan pengguna digital. Dunia maya akan terus berkembang, dengan lebih banyak aplikasi, pengaruh dan peluang. Namun, yang paling penting ialah bagaimana kita membentuk keluarga yang sedar, beretika dan berhemah dalam setiap
tindakan digital.
Dengan bimbingan dan kesedaran, kita mampu membina generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berjiwa bijak dan berprinsip dimana akan melahirkan generasi yang tahu menilai sebelum menekan butang “tap”.





