Adakah Media Sosial Menjejaskan Harga Diri Anda? Panduan Untuk Ibu Bapa.

Dalam era teknologi ini, ramai kanak-kanak membesar dengan telefon di tangan sebelum mereka benar-benar memahami apa itu “harga diri”. Ada ibu bapa yang memberikan telefon atau tablet kepada anak kecil semata-mata untuk menghiburkan mereka, walaupun anak itu belum boleh bercakap atau mengawal emosi sendiri. Akibatnya, ramai kanak-kanak menjadikan platform digital sebagai tempat untuk belajar, meneroka, dan memahami dunia di sekeliling mereka.

Namun, berjam-jam masa yang dihabiskan dengan melayari internet akhirnya menjadikan media sosial sebagai cermin untuk kanak-kanak menilai nilai diri mereka. Berbeza dengan orang dewasa, kanak-kanak belum mampu membezakan antara realiti dan kandungan di media sosial. Hal ini menjadi kebimbangan kepada ibu bapa apabila anak-anak mula mempercayai sepenuhnya apa yang mereka lihat dalam internet terutamanya apabila ia mula memberi kesan kepada keyakinan diri, tingkah laku, dan rutin harian mereka.

Media sosial memberi impak besar terhadap cara kanak-kanak melihat diri sendiri, terutamanya mereka yang masih belajar mengenali dunia melalui skrin. Salah satu isu utama ialah perangkap algoritma. Algoritma sering memaparkan imej wajah “sempurna” kepada kanak-kanak. Lama-kelamaan, mereka mula membandingkan rupa sebenar mereka dengan gambar yang telah ditapis atau disunting.

Apabila penapis menjadikan kulit lebih licin, mata lebih besar, atau hidung lebih kecil, mereka mungkin mula percaya bahawa versi yang disunting itu adalah “standard” kecantikan yang sebenar. Ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap ciri semula jadi mereka, terutamanya apabila mereka membandingkan diri dengan influencer yang dianggap lebih cantik, lebih kurus, atau lebih “aesthetic”. Bagi kanak-kanak yang sedang membina identiti diri, perbandingan ini boleh memberi kesan yang mendalam terhadap keyakinan mereka.

Kadang-kadang, tanda amaran berada betul-betul di hadapan mata ibu bapa, tetapi sukar untuk disedari. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa tidak pasti apa yang perlu diperhatikan. Salah satu tanda yang paling jelas ialah apabila anak enggan mengambil gambar tanpa menggunakan penapis. Ini menunjukkan mereka mungkin sudah mula berasa tidak yakin
dengan rupa sebenar mereka.

Tanda-tanda lain termasuk kerap mengatakan mereka kelihatan “hodoh”, menukar gaya berpakaian semata-mata untuk meniru pempengaruh, atau menunjukkan perubahan mood yang ketara selepas menggunakan telefon. Apabila kanak-kanak mula menunjukkan tingkah laku seperti ini, ibu bapa perlu menganggapnya sebagai tanda bahaya. Ini adalah penting
untuk mengambil serius tanda-tanda ini dan menanganinya lebih awal sebelum ia menjadi lebih memudaratkan kepada harga diri anak.

Sebahagian ibu bapa mungkin tertanya-tanya apa yang boleh dilakukan setelah menyedari tanda-tanda tersebut. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyokong anak-anak dan mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih teruk.

Pertama, ibu bapa boleh mengajar asas celik media kepada anak-anak. Penting untuk menjelaskan bahawa ramai pempengaruh sebenarnya tidak kelihatan seperti apa yang mereka tunjukkan dalam media sosial. Mereka mungkin menggunakan aplikasi suntingan untuk memperelokkan ciri wajah atau penapis yang mengubah rupa mereka sepenuhnya.
Membantu anak memahami bahawa imej dalam talian adalah hasil yang dibentuk and bukan kebenaran mutlak.

Ibu bapa juga boleh menetapkan had penggunaan telefon. Sebagai contoh, telefon tidak dibenarkan semasa waktu makan, dan had penggunaan harian boleh ditetapkan untuk aplikasi seperti TikTok dan Instagram. Had ini membantu anak membina hubungan yang lebih sihat dengan teknologi.

Paling penting, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik. Ini termasuk mengelakkan komen negatif tentang rupa diri sendiri dan tidak terlalu obses dengan telefon. Kanak-kanak belajar dengan memerhati, dan sikap ibu bapa sangat mempengaruhi mereka.

Akhir sekali, ibu bapa harus mengingatkan anak bahawa nilai diri mereka lebih daripada sekadar rupa paras. Memuji sifat seperti kebaikan hati, usaha, kreativiti, dan ketabahan membantu anak membina identiti diri yang lebih kukuh dan tidak bergantung pada penampilan atau pengesahan dalam talian.

Kesimpulannya, matlamatnya bukanlah untuk ibu bapa menghapuskan media sosial sepenuhnya daripada kehidupan anak-anak. Sebaliknya, ibu bapa perlu membimbing anak menggunakan platform ini dengan cara yang sihat dan berhemah. Sebagai pengaruh paling kuat dalam membentuk harga diri anak, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu mereka memahami nilai diri di luar apa yang mereka lihat dalam talian. Dengan kesedaran, bimbingan, dan komunikasi yang konsisten di rumah, anak-anak boleh membesar dengan keyakinan dan membina imej diri yang sihat dalam dunia digital hari ini.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Tapis atau Isih
Archives
Kemas Kini Terbaru
Teg Awan
Kongsi Artikel Ini :

Artikel Berkaitan

Tanya Cik Lang!

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x