Pada era yang serba digital hari ini, anak-anak bukan sahaja membesar dengan pendedahan kepada teknologi moden seperti telefon dan tablet. Mereka juga membesar dengan pelbagai risiko. Buli dalam dunia digital semakin berleluasa, menjadikan ia sebagai ancaman utama kepada kanak-kanak dan remaja.
Buli siber seperti ejekan dalam komen media sosial, komen menghina hingga penyebaran fitnah di dalam platform media sosial menyebabkan mangsa buli siber sering mengalami tekanan emosi yang boleh memberi kesan jangka panjang.
Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka dari buli siber yang boleh menjejaskan emosi mereka tanpa kita sedari. Oleh sebab itu, tugas kita menjadi tempat pertama kanak-kanak mencari perlindungan untuk mereka meluahkan apa yang mereka lalui ketika berhadapan dengan masalah buli siber.
Selain itu, ibu bapa adalah penyuluh kehidupan anak. Seorang ibu bapa bukan hanya bertanggungjawab dalam menyediakan kebajikan anak, tetapi turut menjadi tempat rujukan kepada kanak-kanak dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Dengan pendekatan penuh rahmah, kasih sayang dan amanah, ibu bapa boleh membantu mereka membina tabiat digital yang sihat bermula dari rumah. Hal ini selaras dengan peranan ibu bapa sebagai panduan kanak-kanak dalam dunia digital yang kompleks.
Menurut Bernama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan bahawa mereka menerima 8,339 laporan dan aduan berkaitan buli siber atau 27 kes sehari bagi tempoh Januari hingga 1 November tahun lepas.
Manakala, laporan dari Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau lebih dikenali sebagai UNICEF menunjukkan bahawa Malaysia berada di kedudukan kedua tertinggi di Asia bagi buli siber menyusuli China, sementara di peringkat dunia pula, Malaysia disenaraikan sebagai kelima tertinggi. Perkara ini mencerminkan betapa seriusnya masalah ini di Malaysia.
Justeru, ibu bapa perlu memahami realiti buli siber hari ini. Buli siber adalah perbuatan mengganggu, menakut-nakutkan, atau memalukan seseorang melalui penggunaan aplikasi media sosial seperti Instagram, TikTok, X, and Facebook. Jenayah ini boleh berlaku melalui penghinaan awam, penyebaran khabar angin, ugutan, pencerobohan privasi, atau penggodaman akaun.
Buli siber bukan sekadar “gurauan”, ianya memberi kesan amat bahaya kepada kanak-kanak yang boleh menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi, hilang keyakinan diri, prestasi sekolah merosot, dan dalam kes yang lebih teruk boleh membawa kepada tindakan mencederakan diri sendiri atau bunuh diri.
Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa memahami kesan buli siber kepada kanak-kanak. Hal ini dapat membantu ibu bapa lebih peka dengan perubahan emosi anak sekiranya mereka terlibat dengan masalah buli siber.
Di samping itu, ibu bapa perlu memulakan perbualan dengan penuh rahmah dan kelembutan ketika berbual dengan anak-anak. Hal ini demikian untuk mewujudkan suasana yang selesa sekaligus memperkukuh komunikasi antara ibu bapa dan anak. Anak-anak mungkin takut bercerita kerana risau dimarahi atau telefon dirampas. Jadi, komunikasi yang rahmah amat penting.
Tunjukkan bahawa anda hadir sebagai pendengar, bukan penghukum. Dalam Islam, rahmah mengajar kita untuk menenangkan sebelum menasihati. Prinsip ini juga sangat relevan dalam pengasuhan digital.
Sebagai ibu bapa juga, kita perlu membimbing anak sebelum mereka terdedah kepada risiko dunia maya. Seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” didikan awal tentang adab digital jauh lebih berkesan daripada menegur ketika masalah sudah berlaku. Ibu bapa boleh menetapkan peraturan digital dengan prinsip wasatiyyah (keseimbangan). Sebagai contoh menyediakan garis panduan di rumah yang mudah diamalkan seperti menghadkan penggunaan skrin, tidak berkongsi lokasi atau maklumat peribadi, tidak membalas mesej kasar atau provokasi, dan beritahu ibu bapa jika ada mesej atau komen yang menyakitkan.
Peraturan tidak perlu keras, tetapi mesti jelas dan seimbang. Prinsip wasatiyyah sesuai untuk dilaksanakan kerana menekankan keseimbangan dalam sesuatu perkara. Oleh itu, anak-anak tidak akan merasa dikongkong, tetapi mereka akan lebih mematuhi peraturan yang disediakan.
Anak juga belajar melalui pemerhatian. Jika kita sendiri menjaga adab ketika menggunakan media sosial, mereka akan mengikutinya. Ini termasuk mengelakkan memuat naik gambar anak tanpa kebenaran, tidak menyindir orang secara terbuka, berhenti menaip ketika marah, serta menggunakan kata-kata yang baik dalam komen.
Selaras dengan tajuk “Peranan Ibu Bapa Dalam Menangani Buli Siber,” ibu bapa perlu memastikan anak tidak meniru tindakan yang boleh membawa penyesalan pada masa hadapan, kerana kitalah teladan utama mereka. Pepatah Melayu turut mengingatkan, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Hal yang sama berlaku di dunia digital, di mana kata-kata yang ditaip tanpa berfikir boleh meninggalkan luka yang sukar dipadam.
Ibu bapa perlu bertindak dengan tenang dan sistematik dalam menangani masalah ini agar tidak menimbulkan masalah lain kepada anak-anak. Antara langkah yang disyorkan kepada ibu bapa jika anak dibuli siber ialah simpan bukti seperti tangkap layar komen atau mesej yang berunsur buli siber, sekat dan lapor akaun pembuli di platform, bincang dengan guru jika ia melibatkan rakan sekolah dan pantau emosi anak serta akaun media sosial mereka. Keselamatan emosi anak-anak adalah amanah terbesar kepada ibu bapa.
Kesudahannya, kita tidak dapat mengawal dunia digital sepenuhnya, tetapi kita boleh memperkuatkan benteng di rumah. Dengan komunikasi penuh rahmah, panduan berimbang, dan contoh yang baik, ibu bapa boleh membantu anak membesar sebagai pengguna digital yang lebih bijak dan beradab.
“Didikan yang baik hari ini membentuk akhlak digital mereka esok.”





