Lindungi Anak Anda: Kenali Taktik Pemangsa Dalam Talian

Dalam dunia digital hari ini, ancaman daripada pemangsa dalam talian semakin meningkat. Mereka ialah individu yang menggunakan internet untuk memperdaya, memanipulasi, dan mengeksploitasi kanak-kanak secara perlahan-lahan. Ibu bapa perlu sedar kewujudan pemangsa siber, iaitu mereka yang berpura-pura menjadi rakan anak-anak di platform digital sebelum cuba memancing maklumat atau mengajak ke arah interaksi berbahaya.

Apakah itu pemangsa siber (Online Predator)

Istilah online predator merujuk kepada individu yang menyasarkan kanak-kanak melalui media sosial, game online, atau aplikasi mesej. Mereka membina kepercayaan sebelum mengajak anak melakukan sesuatu yang tidak selamat. Mereka biasanya memulakan interaksi melalui perbualan biasa yang kelihatan tidak berbahaya, namun secara perlahan mula membina hubungan rapat dengan mangsa. Lama-kelamaan, pemangsa akan memancing maklumat peribadi, meminta
gambar, atau mengajak mangsa berjumpa di luar talian. Taktik mereka licik dan terancang, menjadikan kanak-kanak mudah percaya dan sukar membezakan antara hubungan yang selamat atau berisiko.

Kenali anak anda

Tumbesaran anak memerlukan bimbingan dan perhatian daripada ibu bapa. Pada masa kini, kanak-kanak seawal usia lima tahun sudah terdedah kepada penggunaan gajet, sama ada untuk hiburan, pembelajaran atau komunikasi. Platform seperti TikTok, Roblox, Instagram, Discord, YouTube dan WhatsApp menjadi sebahagian daripada rutin harian generasi muda. Pendedahan tanpa pengawasan boleh menjerumuskan anak-anak kepada kandungan negatif atau interaksi dengan individu yang berniat jahat.

Tahukah anda?

87 peratus remaja di Malaysia percaya rakan mereka terlibat dalam aktiviti atas talian yang berisiko. Remaja perempuan lebih berisiko menerima komen berbaur seksual berbanding remaja lelaki. Tiga daripada empat remaja pula percaya kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya ancaman seksual dan dipergunakan dalam talian. (Sumber: The Internet COOL oleh UNICEF Malaysia).

Tanda awal yang perlu disedari

Ada beberapa tanda awal yang perlu diberi perhatian. Antaranya perubahan sikap yang mendadak. Anak mula berahsia tentang aktiviti dalam talian. Mereka menerima hadiah daripada orang yang tidak dikenali. Mereka mempunyai hubungan rapat dengan individu yang jauh lebih tua. Ada juga yang menggunakan bahasa seksual yang tidak pernah diajar kepada mereka. Semua ini adalah petunjuk bahawa mungkin ada seseorang yang cuba mendekati mereka dengan niat yang tidak baik.

Di Malaysia, banyak kes rogol bawah umur bermula daripada hubungan yang dibina secara online. Pelaku biasanya memulakan hubungan melalui chat atau media sosial, meraih kepercayaan mangsa sebelum memujuk mereka untuk berjumpa. Polis mendedahkan taktikal ini semakin kerap digunakan. Grooming kini menjadi pintu masuk kepada jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Langkah untuk melaporkan pemangsa seksual dalam talian

Jika anda mengesyaki wujudnya pemangsa seksual dalam talian, terdapat lima langkah penting untuk melaporkannya. Kumpulkan bukti. Laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Buat laporan kepada CyberSecurity Malaysia atau CYBER999. Lapor di balai polis terdekat. Hubungi talian sokongan jika anda atau anak memerlukan bantuan lanjut.

Kanak-kanak berhak hidup dengan selamat dan dilindungi. Peranan ibu bapa untuk mengawasi, mendidik dan mendampingi adalah kunci utama untuk memastikan dunia digital menjadi ruang yang selamat untuk mereka membesar. Oleh itu, ibu bapa perlu melibatkan diri dalam kehidupan digital anak, bertanya apa yang mereka tonton, dengan siapa mereka berhubung, serta menetapkan had penggunaan gajet yang sesuai.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Tapis atau Isih
Archives
Kemas Kini Terbaru
Teg Awan
Kongsi Artikel Ini :

Artikel Berkaitan

Tanya Cik Lang!

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x