Media Sosial penyebab keganasan di sekolah?

Oleh Dr. Shafizan Mohamed

Kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan kejadian ganas yang melibatkan pelajar di sekolah. Ramai ibu bapa mula menuding jari, menyalahkan pengaruh internet dan media sosial. Apakah benar media sosial puncanya?

Jawapan saya mudah: media sosial bukan penyebab utama anak-anak manjadi ganas, tetapi ia boleh menggandakan risiko.

Kebimbangan Tentang Kesan Media Bukan Perkara Baharu

Sebenarnya, kebimbangan tentang pengaruh media terhadap tingkah laku sudah lama wujud. Ketika televisyen mula-mula diperkenalkan, masyarakat bimbang rancangan TV akan merosakkan moral anak-anak. Perasaan yang sama timbul ketika filem ganas dan permainan video menjadi popular.

Namun, bezanya kali ini, ia terasa lebih dekat dan nyata. Kita tidak lagi hanya mendengar berita tentang keganasan di luar negara — ia berlaku di sekolah-sekolah kita sendiri. Situasi ini telah mencabar kepercayaan dan keselesaan bahawa “perkara seperti itu tidak akan berlaku di Malaysia”.

Kita kini hidup dalam dunia di mana media — terutamanya media sosial — menyelubungi kehidupan seharian. Ia tidak mengenal sempadan, masa atau tempat.

Tidak Wajar Menyalahkan Media Sosial Semata-Mata

Disebabkan betapa menyeluruhnya penggunaan media hari ini, kita tidak boleh sekadar menyalahkan atau melarang penggunaannya. Teknologi bukan sesuatu yang boleh kita “matikan”. Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, melangkaui cara kita berkomunikasi, belajar dan bersosial.

Oleh kerana kita tidak akan mampu menghalang, kita perly belajar untu hidup bersama dengan teknologu dengan bijak. Sebagai ibu bapa, kita perlu membimbing anak-anak memahami dunia digital – dan untuk itu, sudah menjadi suatu kewajipan buat ibu bapa untuk juga memahami lebih dalam mengenai teknologi. Penggunaan tanpa pengetahuan adalah penyebab utama salah guna teknologi.

Bagaimana Media Sosial Menggandakan Risiko

Platform media sosial direka untuk menarik perhatian dan mencetuskan emosi. Kandungan yang bersifat provokasi, sensasi atau melampau sering mendapat lebih banyak tontonan dan perkongsian. Akibatnya, anak-anak kita terdedah kepada gelombang kandungan agresif yang boleh menormalkan kelakuan ganas dan mengurangkan empati terhadap orang lain.

Lama-kelamaan, pendedahan berulang ini boleh membuat mereka tidak lagi sensitif terhadap keganasan, atau lebih teruk — meniru tingkah laku tersebut dalam dunia sebenar.

Mendidik, Bukan Menyalahkan

Penyelesaian terbaik bukanlah dengan sekatan semata-mata, tetapi melalui pendidikan dan bimbingan yang berterusan. Anak-anak perlu dibekalkan dengan literasi digital (digital literacy) dan daya tahan digital (digital resilience) sebagai kemahiran hidup asas agar mereka mampu berfikir secara kritikal, mengawal emosi dan membuat keputusan yang bijak di ruang siber.

Sekolah pula boleh memainkan peranan penting dengan memperkenalkan modul literasi media supaya pelajar memahami bagaimana kandungan digital mempengaruhi cara mereka berfikir dan berkelakuan.

Dalam masa yang sama, ibu bapa perlu lebih peka terhadap dunia digital anak-anak — mengetahui apa yang mereka tonton, siapa yang mereka ikuti, serta bagaimana mereka berinteraksi di alam maya. Pendekatan ini bukan sahaja untuk mengawal, tetapi untuk membimbing mereka menjadi pengguna teknologi yang beretika dan berdaya tahan.

Yang paling penting — jangan biarkan anak-anak menghadapi dunia digital seorang diri.

Tanggungjawab Bersama

Beberapa negara seperti Australia dan Perancis  sudah pun meletakkan had umur dan keperluan kebenaran ibu bapa untuk penggunaan media sosial di bawah usia 15 tahun. Malaysia juga boleh mempertimbangkan langkah yang sama, tetapi undang-undang sahaja tidak mencukupi.

Yang lebih penting ialah perubahan budaya dan sikap. Masyarakat — termasuk ibu bapa, guru, pembuat dasar, dan juga platform digital — mesti berganding bahu untuk membina ekosistem yang lebih selamat, empati dan bertanggungjawab.

Peranan Kita Sebagai Ibu Bapa

Menyalahkan media sosial semata-mata hanyalah cara mudah untuk melepaskan tanggungjawab. Hakikatnya, anak-anak belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat dan alami di rumah berbanding apa yang mereka tonton di skrin.

Tanggungjawab sebenar ialah mendidik mereka supaya tahu beza antara betul dan salah, maya dan realiti, jenaka dan bahaya. Media sosial mungkin menggandakan risiko — tetapi manusia, bukan platform, yang menentukan hasilnya.

Kita tidak dapat mengelak daripada teknologi, tetapi kita boleh belajar hidup dengannya secara bijak dan beretika. Mari sama-sama pastikan anak-anak kita bukan sekadar celik digital, tetapi juga bijak dan berakhlak dalam dunia digital.


tentang penulis

Dr. Shafizan Binti Mohamed (Assoc. Prof. Ts. Dr.)

Dr. Shafizan binti Mohamed merupakan Profesor Madya di Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Tapis atau Isih
Archives
Kemas Kini Terbaru
Teg Awan
Kongsi Artikel Ini :

Artikel Berkaitan

Tanya Cik Lang!

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x